Monday, February 15, 2010

Kampong Pondok Rasah

Setelah Tuan Haji Ahmad kembali ke tanah air dari Mekkah setelah menuntut ilmu disana, lebih kurang tujuh tahun, beliau telah menyebarkan ilmu pengetahuannya kepada umat Islam setempat. Beliau telah mengambil daya usaha mengajar di masjid-masjid dan surau-surau di Seremban dan kawasan-kawasannya seperti Sega atau Sogo,Rantau,Kuala Sawah hinggalah ke daerah Rembau. Di samping mengajar ilmu-ilmu syariah seperti fiqh dan tauhid, beliau juga mengajar Tasawwuf di samping membimbing pelajar-pelajarnya cara-cara beramal dengan amalan-amalan al-Tariqah al-Ahmadiyyah, zikir-zikirnya dan memahamkan kepada mereka ajaran-ajaran Tariqah ini. Sambutan yang diberikan adalah menggalakkan tambahan pula usaha-usaha ini adalah merupakan sambungan kepada usaha-usaha ayahanda beliau Tuan Haji Mohd Said.

Tidak cukup dengan itu, dalam masa yang sama beliau mendirikan pondok yang akhirnya diberi nama al-Madrasah al-Saidiyyah. Bersempena dengan nama ayahandanya. Pelajar-pelajar yang datang ke Madrasah al-Saidiyyah ini datang dari berbagai-bagai tempat dan dari negeri di Malaysia dan juga dari seberang laut seperti Siak. Mereka tinggal di pondok-pondok yang didirikan di sekitar tempat kediaman Tuan Haji Ahmad. Tempat belajar mereka ialah di surau dan surau ini masih ada hingga sekarang, walaupun telah menerima sedikit sebanyak perubahan fizikalnya.

Bolehlah dikatakan bahawa tujuan beliau mendirikan Madrasah ini ialah untuk mengajar dan menyebarkan ilmu-ilmu Islam yang tradisional, ini tidaklah terkecuali dari mengajarkan ilmu Tasawwuf, khususnya ajaran-ajaran al-Tariqah al-Ahmadiyyah.

Satu perkara yang menarik mengenai Madrasah ini ialah, ianya lebih dikenali di kalangan masyarakat Negeri Sembilan dengan nama : Pondok Sheikh Haji Ahmad. Dari nama inilah akhirnya nama tetap kepada kediaman Tuan Haji Ahmad iaitu Kampong Pondok Rasah Seremban sekarang.

Seperti juga pondok-pondok di seluruh tanah air, di Pondok Rasah ini pelajar-pelajar dikehendaki patuh pada disiplin yang telah ditentukan seperti disiplin pakaian,akhlak,makanan,pelajaran sembahyang berjemaah dan lain-lain lagi, seperti disiplin-disiplin yang kebiasaannya terdapat di pondok-pondok yang lain ditambah dengan disiplin yang seharusnya diikuti oleh pengikut-pengikut al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti zikir-zikir tertentu yang dikehendaki untuk diamalkan,menghadiri majlis-majlis zikir dan haul. Di bulan puasa pula, pondok ini mempunyai program yang tersendiri berbeza dari bulan-bulan yang lain. Pada bulan ini, pelajar-pelajar digalakkan berzikir. Malahan kadang-kadang Tuan Haji Ahmad sendiri memimpin pelajar-pelajar berzikir dari selepas tengah malam hingga subuh. Mereka juga digalakkan membaca al-Quran dan diajarkan cara sembahyang Tarawih sepuluh rakaat yang biasanya dilakukan oleh al-Tariqah ini. Pelajar-pelajar dikehendaki tidur selepas Maghrib dan bangun selepas tengah malam untuk bersembahyang Isya’, Tarawih dan seterusnya berzikir dan mereka bersahur sebelum subuh dan hanya tidur semula selepas subuh. Bolehlah dikatakan pada bulan puasa mereka berehat di waktu siang, beramal dan belajar di waktu malam.

Bagi pelajar-pelajar yang telah lama belajar dan didapati layak untuk mempelajari ilmu Tasawwuf yang lebih mendalam, mereka diajarkan dengan kitab-kitab Tasawwuf seperti al-Hikam dan ada pula sebahagian dari mereka di ajar dan digalakkan bermuraqabah. Muraqabah ialah satu disiplin al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang penting. Di antara tempat-tempat yang pernah dijadikan tempat untuk bermuraqabah ialah Masjid Rasah yang masih wujud hingga hari ini.

Pembentukan madrasah ini secara langsung dan tidak langsung membawa kepada penyebaran Tariqah ini ke daerah-daerah dari mana murid-murid itu datang, mereka ini dengan sendirinya menjadi wakil penyebaran Tariqah ini setelah tamat pengajian mereka di madrasah ini. Bolehlah dikatakan bahawa matlamat yang penting dari penubuhan madrasah ini ialah untuk meneruskan perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti yang telah digariskan oleh al-Marhum Tuan Haji Mohd Said. Di antara tokoh-tokoh al-Tariqah al-Ahmadiyyah yang mendapat didikan beliau ialah:Tuan Haji Abdul Rashid,Tuan Haji Muhammad,Tuan Haji Mohd Hamid,Tuan Haji Mohd Noor.Mereka ini adalah adik-adik kepada Allahyarham.