Monday, February 15, 2010

Kepimpinan Tarekat Al Ahmadiyyah

Tuan Haji Abdullah

Setelah Tuan Hj. Muhammad Said al-Linggi kembali ke rahmatullah pada tahun 1345H. pimpinan al-Tarikah al-Ahmadiyah telah dikendalikan oleh anak lelaki beliau bernama Tuan Haji Abdullah,saudara kandung yang tertua Allahyarham Tuan Hj. Ahmad. Pada masa itu al-Tariqah al-Ahmadiyyah berada di Ampangan, di mana tempat ini telah diasaskan oleh Tuan Haji Mohd Said sebelum wafatnya.
Pada tahun 1934, Tuan Haji Ahmad telah pulang ke Tanah Melayu setelah menamatkan pengajiannya di Makkah al-Mukarramah selama 7 tahun (1927-1934). Dengan kepulangan Tuan Haji Ahmad dari Makkah, maka lahirlah seorang lagi tokoh penting memimpin al-Tarikah al-Ahmadiyyah.Tuan Haji Abdullah selalu menugaskan Tuan Haji Ahmad supaya mengetuai majlis-majlis zikir dan haul yang diadakan di Kampong Ampangan atau di tempat-tempat lain. Tuan Haji Abdullah akan hadir sama jika tidak ada apa-apa keuzuran. Ini banyak memberikan pengalaman kepada Tuan Haji Ahmad dan sebagai satu syarat bahawa pemimpin kedua Tariqah ini adalah dipegang oleh Tuan Haji Ahmad seperti yang dibayangkan oleh Saidi Abu Abbas al-Dandarawi. Dan sebagai persediaan bagi beliau untuk mengambil alih pimpinannya jika Tuan Haji Abdullah telah tiada. Dan inilah yang berlaku.
Kerjasama dan bantu membantu antara tokoh ini berjalan terus dan sewajarnyalah diikuti oleh mereka yang datang kemudian demi kepentingan dan perkembangan Tariqah ini. Walaupun tokoh tinggal berlainan tempat, Tuan Haji Abdullah di Ampangan dan Tuan Haji Ahmad di Kampong Pondok Rasah, namun ianya tidak sedikit pun menjejaskan keeratan kerjasama di antara kedua mereka. Kedua tokoh ini sentiasa merujuk antara satu sama lain. Jawapan kepada anak-anak murid dari Tuan Haji Abdullah: Apa kata Ahmad? Ha itulah dia! Atau kata-kata Tuan Haji Ahmad kepada muridnya: Apa kata bang Lah itulah dia!. Adalah perkara yang menjadi kelaziman.Seolah-olah tidak terdapat apa-apa perbezaan fikiran dan pendapat di antara tokoh ini di dalam persoalan-persoalan yang mempunyai hubungan dengan Tariqah ini. Jika majlis-majlis haul di adakan di Ampangan, Tuan Haji Ahmad akan memerintahkan anak-anak muridnya ke Ampangan bagi sama-sama berkhidmat mempersiapkan persediaan-persediaan haul dan sama menghadiri majlis tersebut. Tradisi yang baik ini berjalan terus hingga wafat Tuan Haji Abdullah pada tahun 1956 dan dikebumikan berhampiran makam ayahandanya Tuan Haji Mohd Said al-Linggi.

Tuan Haji Ahmad

Sebagaimana yang dinyatakan bahawa setelah Tuan Haji Abdullah kembali kerahmatullah, maka secara automatis pimpinan al-Tariqah al-Ahmadiyah telah dipegang oleh Tuan Hj. Ahmad. Sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pembantu kanan kepada kekandanya dan kebolehan beliau di dalam memimpin al-Tariqah ini tidak boleh dipersoalkan. Tambahan pula beliau ini memang terkenal sebagai seorang yang alim di dalam ilmu-ilmu tradisi Islam dan termasuklah ilmu Tasawwuf, ajaran dan disiplin-disiplin Tariqah ini.

Tuan Haji Ahmad yang mempunyai kebolehan dan kewibawaan pimpinan telah bertindak dengan cepat dan tegas membanteras unsur-unsur yang boleh menjejaskan kedudukan al-Tariqah al-Ahmadiyah. Beliau telah memanggil mereka-meraka yang berkenaan ke rumahnya di Pondok Rasah secara bergilir-gilir di hari-hari yang berlainan di antara mereka yang pernah di panggil ialah

1. Tuan Haji Hassan(al-marhum)
2. Tuan Haji Ta’in(al-marhum)
3. Tuan Haji Sulaiman(al-marhum)
4. Tuan Haji Jani
5. Tuan Haji Husain Ma’un
6. Che Yusuf

Tujuan mereka dipanggil adalah untuk memberitahu perkara yang sebenarnya kepada mereka mengenai perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan tanggungjawab yang dipikul oleh Ketua Tariqah ini. Dengan ini beliau dapat meredakan keadaan.

Lebih jauh dari itu, beliau telah menulis surat terbuka ditujukan kepada ikhwan yang kanan demi untuk membanteras dan menghapuskan unsur-unsur perpecahan di dalam Tariqah ini. Di samping itu, beliau dengan tegas memperingatkan pengikut-pengikut Tariqah ini supaya menuntut ilmu agama supaya perjalanan mereka menepati dengan kehendak ajaran Tariqah ini. Di samping menghindarkan perkara-perkara yang boleh mencemarkan nama baik Tariqah dan tuan-tuan gurunya. Lebih dari itu, Tuan Haji Ahmad juga menegaskan bahawa tujuan zikir ialah untuk membersihkan diri untuk mewujudkan perpaduan, dan dari itu hendaklah ianya dibina di atas ilmu, ikhlas dan yang memimpin itu hendaklah benar-benar berkelayakkan dan berkebolehan .

Pada tahun 1950, Tuan Haji Ahmad dilantik menjadi Mufti Negeri Sembilan yang pertama di atas pemilihan dan persetujuan ulamak Negeri Sembilan di dalam persidangan ulamak di Negeri Sembilan yang dipengurusikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada masa itu dan bukan atas permintaan atau permohonan jawatan yang lazimnya di lakukan bagi memenuhi sesuatu jawatan kosong kerajaan.Pada mulanya beliau tidak bersetuju di atas perlantikan tersebut , namun beliau akhirnya kalah kerana desakan-desakan yang kuat dari ulamak Negeri Sembilan dan juga pembesar-pembesar Negeri Sembilan sendiri. Tambahan pula mereka ini sama ada pengikut atau bersimpati dengan perjalanan al-Tariqah al-Ahmadiyyah dan kewibawaan Tuan Hj. Mohd Said yang masih kukuh dan tegak di negeri ini.Di samping desakan dari sebahagian orang ramai dan ikhwan, konsep memenuhi hajat orang lain memainkan peranan di dalam penerimaan jawatan ini. Di samping itu, bonda beliau al-Marhumah Siti Zubaidah bersetuju dan mendesak beliau agar menerima jawatan tersebut, dan atas dasar taat kepada ibu juga menjadi faktor penentu bagi beliau.

Di dalam mengendalikan tanggungjawab beliau sebagai seorang Mufti dan dalam masa yang sama sebagai pemimpin Tariqah beliau amat berhati-hati dan cermat supaya jawatan yang satu tidak mempengaruhi yang lainnya hingga jelas garis-garis kasar yang boleh di rasa memisahkan di atara dua sifat dan tanggungjawab yang ada pada beliau. Sebagai bukti, beliau melarang pengikut-pengikutnya mengadakan majlis zikir di Masjid terutama selepas Jumaat kecuali ia merupakan kawasan yang banyak pengikut Tariqah ini atau ahli-ahli Masjid itu bersepakat menerimanya atau sudah menjadi tradisi turun-temurun bagi Masjid dan jemaah melakukan demikian seperti Masjid Penajis Rembau. Dan begitu juga beliau melarang digantung tahlil al-Tariqah al-Ahmadiyyah di masjid.

Di dalam hubungan yang sama, beberapa persoalan yang menyentuh perkara-perkara yang mempunyai hubungan rapat dengan perjalanan dan disiplin Tariqah secara umum ini termasuklah al-Tariqah al-Ahmadiyyah seperti persoalan keramat, wali, tawassul, dan bernazar kepada kubur-kubur auliya’ telah dikemukakan oleh sesetengah pihak kepada beliau atas sifat beliau sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di antaranya ialah surat dari Hj. Abdullah,Seremban bertarikh 6hb Oktober 1952. Walaupun beliau mempunyai kewibawaan untuk memberikan jawapan-jawapan yang jitu kepada persoalan sepeti diatas, namun demikian beliau tidak bertindak dengan sewenang-wenangnya. Beliau telah mengeluarkan satu surat terbuka ditujukan kepada lebih 20 orang ulamak Negeri Sembilan sama ada yang berjawatan di kerajaan atau tidak.

Dato’ Sheikh Haji Mohd Murtadza

Lahir pada hari rabu 23 Safar 1356H bersamaan 5 Mei 1937 di Kampung Rasah dan kemudiannya dibesarkan di rumah nendanya di Ampangan. Beliau merupakan putera kesayangan ayahanda-bonda Tuan Haji Ahmad bin Mohd Said dan Puan Hajjah Siti Aishah.Pendidikan awal bermula di Sekolah Melayu Dato’ Shahbandar, Rasah. Kemudiannya meneruskan pengajian di Singapura bersama bapa saudaranya Tuan Haji Abdul Rasyid; dan kemudiannya di Sekolah Agama Al-Attas, Johor Bharu sehingga tahun 1956. Pernah ketika dalam perjalanan menaiki keretapi, beliau bersama bapa saudaranya,Tuan Haji Ibrahim dalam keretapi itu diserang hendap komunis, tetapi beliau diizinkan Allah terselamat.Pengalaman itu tidak sedikitpun melemahkan semangat serta daya juang beliau untuk terus menuntut ilmu pengetahuan. Pada tahun 1957, beliau melanjutkan pelajaran di al-Mashor, Pulau Pinang. Pada tahun 1961, beliau berlepas ke luar Negara untuk menuntut di Maahad al-Kaherah dan seterusnya menuntut di Universiti al-Azhar,Cairo pada tahun 1967 hingga 1974.
Melihat latar belakang diri beliau sejak kecil, beliau sebenarnya telah didedahkan dengan pelbagai cabaran dan rintangan sebagai persediaan awal kearah pembinaan kekuatan diri. Memang begitulah hasrat ayahanda-bonda yang mengingini beliau menjadi seorang ulamak. Sejak awal kanak-kanak lagi beliau telah tersisih daripada pemerhatian ayahanda-bonda;kerana sejak kecil beliau telah mula belajar erti kepayahan merantau meninggalkan kampong halaman semata-mata menuntut ilmu pengetahuan.Sesungguhnya penghijrahan beliau dari satu tempat ke satu tempat sejak zaman kanak-kanak lagi adalah semata-mata patuh kepada kemahuan ayahanda-bonda iaitu menuntut ilmu pengetahuan. Pengalaman-pengalaman yang dilalui inilah sebenarnya yang telah membina sahsiah dan kekuatan jiwa beliau sejak kecil lagi. Memang beliau dikenali seorang yang cukup tegas dalam disiplin agama, bertanggungjawab atas amanah yang diberi, adil dalam membuat keputusan, bijak dan berhikmah dalam berdakwah, serta mesra di hati masyarakat yang mendampinginya.
Pada tahu 1987, beliau telah dilantik menjawat jawatan sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus sehingga tahun 2009. Beliau seorang yang memang dikenali tegas dan sanggup mengambil risiko demi kepentingan agama dan maslahah umum masyarakat, terutama dalam berusaha menyelesaikan kes-kes yang cukup rumit dan melibatkan sensitivity semasa. Kelebihan di bidang tarekat juga turut membantu beliau ketika berhadapan dengan pelbagai masalah rumit.Beliau berkeyakinan sumber kekuatan bukan sahaja pada akal fikiran semata-mata; tetapi keupayaan akal yang dipandu oleh wahyu Ilahi disamping pembinaan jalan-jalan bertaqarrub kepada Allah Azzawajalla adalah sumber kekuatan yang sebenar dan hakiki. Bagi beliau, meletakkan sepenuh keyakinan dan pergantungan kepada Allah adalah senjata yang ampuh menghadapi apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang.