TAWASSUL DAN JENIS-JENISNYA
Adalah dapat difahamkan bahawa tawassul itu ialah berdoa kepada Allah Ta’ala dengan wasilah iaitu memperingati sesuatu yang dikasihi Allah Ta’ala itu. Kalau dicontohkan kepada situasi keduniaan, umpamanya jika kita akan meminta pertolongan untuk mencapai sesuatu yang dihajati, tetapi kita tidak begitu kenal atau baik dengan pihak yang betanggungjawab, maka kita selalu mencari jalan lain seperti menghubungi sahabat kita yang bekerja di pejabat itu dan melalui bantuannya, permintaan kita atau sesuatu yang dihajati tercapai. Atau perkataan yang selalu digunakan oleh umat melayu ialah “gunakan cable”. Inilah permohonan dengan wasilah namanya.
Sebelum diteruskan perbincangan dengan lebih panjang lagi, elok jika dijelaskan serba ringkas makna atau pengertian tawassul itu. Firman Allah Ta’ala:
يَأَيُهَا الّذِينَ ءَامَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغُوا إِلَيهِ الوَسِيلَةَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepada-Nya”. (Al-Maidah:35)
Al-Wasilah mengikut apa yang telah ditulis oleh Abdul Aziz Al-Ayidi At-Tijani di dalam kitabnya At-Tawasul Wazziarah Bainal As-Sufiah Wabn Taimiah adalah seperti berikut:-
اَلوَسِيلَةُ هِيَ اَلَّتِي يَتَوَصَّلُ بِهَا اِلَى تَحصِيلِ المَقصُودِ وَقِيلَ الوَسِيلَةُ هِيَ المَحَبَّةُ
فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَن اِبنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنهُمَا الوَسِيلَةُ هِيَ القُربَةُ
Maksudnya: “Wasilah adalah menyampaikan dengannya kepada menghasilkan tujuan atau maksud. Setengah mengatakan wasilah adalah cinta kepada Allah Azza Wajalla. Dan daripada Ibn Abbas r.a. berkata bahawa Wasilah adalah ibadah kepada Allah”.
Beliau menambah lagi:-
وَقَالَ فِي نِهَايَةِ ابنِ الأَثِيرِ (وَسَبَلَ) فِي حَدِيثِ ألأَذَانِ اَللّهُمَّ اَتِ مُحَمَّدًا الوَسِيلَةَ هِيَ فِي الأَصلِ مَا يَتَوَصَّلُ بِهِ اِلى الشَّيءِ وَيَتَقَرَّبُ بِهِ – اِلَى أَنَّ قَالَ وَالمُرَادُ بِهِ فِي الحَدِيثِ التَّقَرَّبُ مِنَ اللهِ تَعَالَى.
Maksudnya: “Dia berkata dalam Kitab Nihayah oleh Ibn Athir, (اَللّهُمَّ اَتِ مُحَمَّدًا الوَسِيلَةَ) pada hadis azan iaitu (وسل) pada asalnya bermaksud menyampaikan dengannya kepada sesuatu dan menghampiri kepada-Nya. Sehinggalah kepada beliau berkta lagi bahawa yang dikehendaki dengannya pada hadis tersebut ialah taqarrub iaitu menghampirkan diri kepada Allah Ta’ala”.
Ibn Kathir di dalam kitabnya “Tafsir Al-Quran Al-Azim” telah memetik kata-kata Qatadah dalam memberi erti wasilah yang terdapat didalam firman Allah Ta’ala dalam surah al-Maidah ayat 35 sebagai berikut:-
قَالَ قَتَادَة: اَى تَقَرَّبُوا اِلَيهِ بِطَاعَتِهِ وَالعَمَل بِمَا يَرضِيهِ
Maksudnya: “Berkata Qatadah: wasilah bermaksud menghampirkan diri kamu kepada-Nya dengan mentaati-Nya dan beramal dengan apa yang diredhai-Nya.
Manakala Syeikh Idris Abdul Rauf Al-Marbawi didalam kamusnya iaitu Kamus al-Marbawi pula menyatakan wasilah dengan makna wasitah atau jalan. Adapun makna tawassul pula ialah bermaksud permintaan atau permohonan.
Hasan As-Syafie didalam bukunya “Bahjatu Nadhir Fit tawassul bin Nabi At-Tohir, member takrif tawassul begini:
فَأَمَّا التَّوَسُّلُ فَمَعنَاهُ لُغَةً: اَلتَّقَرُّبُ, وَأَمَّا اِصطِللاَحًا: فَهُوَ التَّقَرُّبُ وَالتَّشَفُّعُ اِلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَنزِلِةِ نَبِيِّ أَو وَلِيِّ أَو بِالطَّلَبِ مِنَ النَّبِيِ أَو الوَلِيِّ لِلدُّعَاءِ لِلمُستَشفَعِ بِهِم أَن يُقضَي اللهُ حَاجَتَهُ بِشَرطٍ أَن يَكُونَ اَلمُتَوَسَّلَ مُؤمِنًا مُقبِلاً عَلَى اللهِ رَاغِبًا
Maksudnya: “Makna tawassul dari segi bahasa ialah menghampirkan diri. Manakala dari segi istilah ialah menghampirkan diri dan meminta syafaat kepada Allah Azza Wajalla dengan kedudukan atau darjat seseorang Nabi atau wali atau meminta dari Nabi atau wali, supaya berdoa untuk orang-orang yang meminta syafaat dengan mereka, agar Allah adalah seorang mukmin yang berhadap kepada Allah lagi gemarkan-Nya”.
Ringkasnya adalah dapat difahamkan bahawa tawassul itu ialah berdoa kepada Allah Ta’ala dengan wasilah iaitu memperingati sesuatu yang dikasihi Allah Ta’ala itu.
JENIS-JENIS TAWASSUL
Ibn Taimiah dan pengikutnya hanya membenarkan tawassul pada tiga keadaan sahaja. Mereka menyanggah tawassul lain daripada itu, bahkan menganggap bahawa ianya boleh membawa kepada syirik dan kufur.
Tiga keadaan atau bahagian itu ialah seperti yang telah dinyatakan oleh Muhammad idul Abbasi di dalam kitab ‘At-Tawassul anwa’uhu wa Ahkamuhu’. Beliau sendiri telah menyalin kata-kata yang telah ditulis oleh Nasiruddin Al-Abani seperti berikut:-
فَمِمَّا سَبَقَ تَعلَمُ أَنَّ التَّوَسُّلَ المَشرُوعَ الََََّذِي دَلَّت عَلَيهِ نُصُوصُ الكِتَابِ وَالسُّنَةِ وَجَرَى عَلَيهِ عَمَلُ السَّلَفِ الصَّالِحِ وَأَجمَع عَلَيهِ المُسلِمُونَ هُوَ التَّوَسُّلُ بِاسمٍ مِن اَسمَاءِ اللهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى أَو صِفَتٍ مِن صِفَتِهِ, اَلتّوَسُّلُ بِعَمَلٍ صَالِحٍ قَامَ بِهِ الدَّاعِى, اَلتَّوَسُّلُ بِدُعَاءِ رَجُلٍ صَالِحٍ
Maksudnya: “Maka dari apa yang telah lalu, kamu ketahui bahawa tawassul yang disyariatkan , yang telah ditujukan oleh nas-nas Al-Quran, As-Sunnah, amalan salafussoleh dan ijmak muslimin adalah:-
1- Tawassul dengan salah satu daripada nama-nama Allah Ta’ala atau salah satu dari sifat Allah Ta’ala.
2- Tawassul dengan amal soleh yang dikerjakan oleh orang yang meminta itu.
3- Tawassul dengan doa orang-orang soleh.
Ketiga-tiga bahagian tawassul yang dinyatakan oleh golongan ini memang telah ijmak ulama atas keharusannya dan jumhur ulama ahli sunnah wal jamaah tidak mempertikaikannya, kerana dalil-dalil tentangnya telah jelas dan telah masyhur dikalangan orang ramai. Cuma bagi kaum ahli sunnah wal jamaah, mereka bukan sahaja mengharuskan ketiga bentuk tawassul itu sahaja, bahkan mereka juga telah mengharuskan tawassul dengan orang-orang soleh yang telah wafat atau yang telah atau telah meninggal dunia kerana diketahui di dalam al-Quran Allah telah berfirman:-
وَلاَ تَقُولُوا لِمَن يُقتَلُ فِي سَبِيلِ اللهِ أَموَاتُ بَل أَحيَاءٌ وَلكِن لاَ تَشعُرُونَ
Maksudnya:- Dan janganlah kamu mengatakan terhadap orang-orang yang gugur dijalan Allah itu mati, bahkan sebenarnya mereka itu hidup (iaitu hidup di alam dan bukan di alam kita ini, dimana mereka mendapat kenikmatan disisi Allah dan hanya Allah sahajalah yang mengetahui bagaimana keadaan hidup itu), tetapi kamu tidak menyedarinya.
(Al-Baqarah:154)
Dan sebenarnya disinilah titik perselisihan diantara golongan ahli sunnah wal jamaah dengan Ibn Taimiah serta pengikutnya.
Berhubungan dengan ini, Imam Zaki Ibrahim dalam bukunya ‘Al-Ifham wal Ifham Au Qadaya Al-Wasilah wal Qubur’ telah menjelaskan dimanakah tempat perselisihan tersebut seperti berikut:-
وَإِنَّمَا الخِلاَفُ هُوَ عَلَى التَّوَسُّلَ بِالمَيِّتِ الصَّالِحِ, وَلَم يَكِد يَختَلِفُ عَلَى جَوَازِهِ اَحَدٌ مِنَ السَّلَفِ لِلمَعنَى الَّذِي قَدَّمنَا اِلَى القُرنِ السَّابِعِ, حَيثُ ابتَدَعَ اَبنُ تَيمِيَّةٍ هَذَا الخِلَافَ الفَتَّانَ, وَلَم يَكُن لِيَهتَمُّ بِهِ اَحَدٌ حَتَّى تَبنَاهُ الوَهَابِيَّةُ مُنذُ القَرنِ الثَّالِثِ عَشَرَ, لِأَسبَابِ, وَعَصَبِيَّةِ قَبِيلَةٍ, فَمَتَّعُوا التَّوَسُّلَ اِلَى اللهِ بِصَالِحِى المَوتَى وَتَسَتَّرُوا بِاسمِ التَّوحِيدِ المَظلُومِ...!!
Maksudnya: “Yang menjadi khilaf ialah tawassul dengan mayat yang soleh. Hampir-hampir tiada seorangpun dari ulama salaf yang berselisih atas keharusan bertawassul dengan mayat yang soleh itu, sampailah ke kurun yang ketujuh dimana Ibn Taimiah lah yang telah mereka-rekakan perselisihan yang membawa fitnah itu dan tiada seorangpun yang mengambil berat tentangnya sehinggalah Wahabi mengambil berat tentangnya pada kurun ke tiga belas. Ini adalah sebab-sebab politik dan taksub kabilah. Mereka pun melarang tawassul kepada Allah dengan mayat yang soleh dan mereka berselindung di sebalik tauhid yang dizalimi”.
As-Syeikh Muhammad bin Alawi Al-Maliki di dalam kitabnya ‘Mafahim yajibu an Tusahah’ juga menyatakan tempat yang menjadi perselisihan itu seperti berikut:-
وَمَحَلُّ الخِلَافِ فِى المَسأَلَةِ التَّوَسُّلِ بِغَيرِ عَمَلِ اَلمُتَوَّسَّلِ , كَالتَّوَسُّلِ بِالذَّوَاتِ وَالأَشخَاصِ بِأَن يَقُولَ اَللّهُمَّ إِنِّي أَتَوَسَّلُ إِلَيكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ صَلّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ أَو أَتَوَسَّلُ إِلَيكَ بِأَبِى بَكرِ الصِّدِّيقِ أَو بِعُمَرِ بنِ الخَطَّابِ أَو بِعُثمَانَ أَو بِعَلِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنهُم, فَهَذَا هُوَ المَمنُوعُ عِندَ بَعضِهِم.
Maksudnya: “Tiada khilaf pada masalah tawassul iaitu bertawassul bukan dengan amalan orang yang bertawassul itu, seperti tawassul dengan zat-zat dan individu-individu tertentu seperti kata: Ya Allah, aku bertawassul kepada-Mu dengan nabi-Mu Muhammad s.a.w. atau aku bertawassul kepada-Mu dengan Abu Bakar As-Siddiq r.a. atau dengan Umar bin-Al-Khattab r.a. atau dengan Usman r.a. atau dengan Ali r.a. Maka inilah yang terlarang disisi setengah-setengah mereka(golongan Ibn Taimiyah)”.
Berpegang dengan pendapat ahli sunnah wal jamaah itu, maka K.H. Sirajuddin Abbas, seorang ulamak Indonesia telah menyenaraikan jenis tawassul yang dibolehkan. Antaranya beliau berkata:-
1- Kita datang kepada seorang Nabi atau Ulamak yang kita anggap mulia dan dikasihi Allah, lalu kita katakan kepada beliau: “Saya akan berdoa memohonkan sesuatu kepada Allah , tetapi saya berharap pula Tuan Guru mendoakan kepada Allah bersama saya, supaya permintaan saya ini dikabulkan-Nya. Lalu kedua orang itu berdoa. Inilah namanya berdoa dengan bertawassul.
2- Kita datang ziarah kepad Nabi, pada ketika beliau hidup atau pada ketika beliau telah meninggal, maka kita berdoa disitu dan kita harapkan agar nabi Muhammad s.a.w. mendoakan kita kepada Allah. Ini namanya berdoa dengan tawassul, dengan orang yang masih hidup atau yang telah wafat.
3- Kita datang ziarah ke maqam Tuan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, seorang ulama tasawwuf yang besar di Baghdad, lantas kita berdoa di situ kepada Allah begini bunyinya: “ Ya Allah, ya Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang, saya mohon keampunan dan keredhaan-Mu berkat beliau yang bermaqam disini kerana beliau ini saya tahu seorang ulama besar yang engkau kasihi. Berilah permohonan saya, ya Allah ya Rahman dan rahim. Doa macam ini namanya doa dengan tawassul.
4- Kita berdoa kepada Allah yang maha Esa begini: “Ya Allah, berkat ‘Jah’ (tuah atau kelebihan) Nabi Muhammad s.a.w. berilah permohonan saya. Ini namanya doa dengan tawassul dengan ‘Jah’ (tuah atau kelebihan) Nabi.
5- Kita berdoa begini : “ Ya Allah, saya ada mengerjakan amalan yang baik iaitu tetap hormat kepada ibu bapa saya, tak pernah saya durhaka. Ya Allah yang Maha Mengetahui, kalau amal itu diterima oleh-Mu, maka terimalah permohonan saya ini. Ini namanya doa bertawassul dengan amal ibadat.
6- Kita berdoa kepada Allah begini: “Ya Allah, berkat nama-Mu yang besar, berilah saya daya itu. Ini namanya berdoa dengan bertawassul dengan nama Allah.
Kesimpulannya adalah dapat difahamkan bahawa tawassul itu ialah berdoa kepada Allah Ta’ala dengan wasilah iaitu memperingati sesuatu yang dikasihi Allah Ta’ala itu.