Saturday, December 27, 2014

GALERI AL - AHMADIYYAH

Assalamualaikum wm wbr.

Selaras dengan resolusi Seminar Sufi 2003, pihak pengurusan Pusat Pengamalan Tarekat Ahmadiyyah sedang berusaha melengkapkan dokumen-dokumen berkaitan Tarekat Ahmadiyyah .  Dokumen-dokumen tersebut akan ditempatkan di Galeri Al-Ahmadiyyah, Pusat Pengamalan Tarekat Ahmadiyyah.  Oleh itu mana-mana pihak, khususnya ahli keluarga dan para ikhwan yang memiliki apa2 dokumen atau gambar atau manuskrip atau apa-apa bahan yang berkaitan Tarekat Ahmadiyyah sangat dialu-alukan untuk  membantu dan menyumbang bagi menjayakan usaha murni ini.

Untuk penjelasan, dokumen-dokumen tersebut iaitu yang berkaitan dengan sejarah Tarekat Ahmadiyyah, Syeikh-syeikh tarekat, kitab-kitab karangan syeikh tarekat, aktiviti tarekat sangatlah diperlukan untuk melengkapkan koleksi yang sedia ada.  Atas sokongan, sumbangan dan kerjasama semua pihak, diucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan semoga Allah memberkati kebaikan anda, ameen. Untuk tindakan sila hubungi Hajah Zubaidah binti Hj Ahmad / Tel: 013-3612867. Terima kasih.

Bagi mencapai matlamat pembinaan Pusat Pengamalan Tarekat Ahmadiyyah, sebuah perpustakaan juga akan dimajukan dan akan dikenali sebagai " Maktabah As-Ahmadiyyah " . Kewujudan perpustakaan ini bertujuan menyediakan kemudahan tempat belajar, membuat rujukan dan penyelidikan kepada masyarakat Islam khususnya para pelajar sekolah, kolej dan universiti. Kami sangat mengalu-alukan para penyumbang supaya tampil menderma buku-buku dan bahan bacaan yang berguna untuk manfaat dan kebaikan pengunjung perpustakaan ini.

Jika tuan /puan  berminat menaja fasiliti di galeri di Pusat Pengamalan Tarekat Ahmadiyah sila hubungi no.tel di atas. Berbagai aset untuk galeri dan perpustakaan boleh ditaja seperti rak buku, almari fail, komputer , meja belajar, kerusi meja, karpet, papan kenyataan, papan pameran, display board, frame gambar, khat kanvas, alat pendingin hawa, lampu khas galeri, meja hiasan, gubahan bunga dan seumpamanya. Sumbangan anda sangat dialu-alukan dan semoga kebaikan tuan puan diberkati dan diberikan ganjaran berlipat ganda , ameen.

" Selamat Datang Ke Galeri Al-Ahmadiyyah "
Tuan puan boleh mengetahui riwayat hidup dan menyaksikan sumbangan dan jasa syeikh-syeikh tarekat Al-Ahmadiyyah Al-Idrisiyyah Ar-Rasyidiyyah Ad-Dandrawiyyah, kesungguhan mereka berdakwah, membina keluarga,  membentuk peribadi para ikhwan khususnya di bidang kerohanian melalui penghayatan ilmu, amalan wirid dan zikir yang berterusan sebagai persediaan dan bekalan ke alam akhirat yang abadi. Banyak yang boleh dipelajari dari perjalanan hidup para solihin, antaranya ialah;

Intisari dari wasiat Syeikh Haji Ahmad kepada waris-warisnya;

  1. "...Jika didapati sedikit harta pada persimpananku maka hendaklah dijalankan padanya apa-apa yang boleh menjadi kebajikan bagi diriku atas keridhaan waris-warisku dan 
  2. Tiadalah pesananku kepada waris-waris dan kerabat-kerabat dan irhamku hendaklah bersungguh-sungguh mereka itu di atas berdoa bagi keselamatan diriku di Alam Barzakh dan Akhirat kelak dan 
  3. Hendaklah bersungguh-sungguh mereka itu pada jalan ilmu dan ibadat dan 
  4. Carilah daripada dunia barang yang memadai dan 
  5. Janganlah memperdaya akan mereka itu oleh dunia sehingga lupa mereka itu akan Allah dan lalai mereka itu daripada mati
Luangkan masa berkunjung ke Galeri Al-Ahmadiyyah, insyaallah tuan puan akan mendapat banyak manfaat duniawi dan ukhrawi . Semalam adalah sejarah, hari ini adalah realiti dan esok ( akhirat ) adalah suatu yang pasti .