Sunday, August 28, 2011

Perutusan Hari Raya 'Idil Fitri Dari Sheikh Tarekat AlAhmadiyah



PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 1432H


SHEIKH TAREKAT ALAHMADIYAH ALIDRISIYAH ARRASYIDIYAH ADDANDRAWIYAH

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى بهديه باحسان الى يوم الدين أما بعد

Segala pujian bagi Allah s.w.t yang telah menyempurnakan agama-Nya, melengkapkan nikmat-Nya dan merelai Islam sahaja sebagai ad-Din, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., keluarga baginda dan para sahabat-sahabatnya, seluruh pengikut yang telah mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya sehingga ke hari al-qiamah... Amin!

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana kita telah dapat menyempurnakan ibadat puasa Ramadan. Pada bulan ini pahala setiap kebajikan digandakan. Allah mengurniakan kepada umat Islam pelbagai keistimewaan untuk menghampirkan diri ( bertaqarrub ) kepada Allah dan menjadi hambaNya yang bertakwa. Dengan nikmat kesihatan yang ada, membolehkan kita melaksanakan berbagai perkara yang baik sepanjang bulan yang mulia dan diberkati ini. Dengan izinNya maka kita berpeluang menghidupkan Ramadan dengan tilawah dan tadarus Al-Quran, memperbanyakkan istighfar, berselawat, melaksanakan infak, bersolat Terawih, Qiamulail, beriktikaf di masjid, berzikir , menghadiri majlis ilmu, membaca buku dan seumpamanya. Kita bukan sahaja melaksanakan ibadat secara bersendirian bahkan secara berjamaah. Kita bukan sahaja melakukan perkara yang baik untuk diri sendiri bahkan berpeluang membuat kebaikan kepada orang lain.

Saya ingin menggunakan kesempatan ini mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada para ikhwan dan ahli-ahli tarekat AlAhmadiyah yang ikhlas dan istiqamah beramal dengan amalan yang diterima daripada tuan-tuan guru dan Syeikh tarekat iaitu Sidi Ahmad Idris, Sidi Ibrahim ArRasyid dan Sidi Muhammad AdDandrawi. Saya berkeyakinan bahawa fitnah yang berlaku adalah ujian dari Allah untuk menguji sejauh mana kita konsisten dengan amalan yang benar serta menjauhi perkara-perkara bid’ah, khurafat dan menyeleweng dari syariat. Oleh itu saya komited meneruskan ajaran tuan-tuan guru dan syeikh-syeikh tarekat dan akan terus berusaha memperkasakan tarekat AlAhmadiyah dengan menyuburkan budaya ilmu dan amalan berzikir berpandukan Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Mudah-mudahan kita dapat menyambut Hari Raya dengan pelbagai amalan yang baik dan betul, amalan-amalan yang membesarkan Allah dan menjauhi maksiat .

SELAMAT HARI RAYA ‘IDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN

Ikhlas dari,

Dato’ Sheikh Hj Mohd Murtadza bin Sheikh Hj Ahmad,

Madrasah As-Saidiyah, Kampung Pondok Rasah,

Seremban, Negeri Sembilan